JOHOR BAHRU: Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor diarahkan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir pada sesi persekolahan baharu, yang akan bermula minggu hadapan.

Pengerusi Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan anak-anak daripada setiap golongan termasuk yang dari keluarga kurang berkemampuan tidak ketinggalan dan dapat meneruskan persekolahan.

Beliau berkata, perkara berkenaan sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mahu melihat pendidikan anak Bangsa Johor dipertingkat dan tiada keciciran berlaku dalam kalangan anak Bangsa Johor.

"Saya harap dalam minggu ini, persediaan di peringkat jabatan semua telah bersiap sedia untuk menerima pelajar pada awal persekolahan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) UDA Holdings Bhd (UDA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2.8 juta bagi Program Bantuan Kasih Murid Johor, sebagai bantuan awal persekolahan yang mampu memanfaatkan 11,200 murid bagi membantu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan.

Peruntukan sebanyak RM50,000 juga sudah disalurkan ke setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dan asnaf membeli kelengkapan persekolahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPNJ diminta untuk memantau segala video tular di media sosial membabitkan institusi pendidikan, terutama pelajar dan guru negeri ini.

Aznan berkata, ia bagi mengekang penularan maklumat tidak tepat disebarkan, sehingga institusi pendidikan menjadi tohmahan masyarakat.

Beliau berkata, ini termasuk penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial membabitkan sekolah, guru dan pelajar.

"Perlu ada pelan atau langkah bagi menangani penularan di media sosial membabitkan institusi sekolah, kerana seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tidak mahu penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial," katanya. - BERNAMA